Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Perkhidmatan Perpustakaan Digital Memacu Perpustakaan UiTM

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Sumber : Dewankosmik https://dewankosmik.jendeladbp.my/2022/10/28/4473/

Perpustakaan merupakan sebuah pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat yang telah beroperasi sejak sekian lamanya. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengangkat martabat ilmu melalui perpustakaan. Ia bertujuan untuk memenuhi fungsi asasnya sebagai pusat perkongsian sumber maklumat yang sahih dan memiliki kredibiliti yang tinggi. Usaha ini jelas berpaksikan kepada agenda mengarus perdanakan pembelajaran sepanjang hayat.
Sejak tertubuhnya perpustakaan akademik pertama di Pakistan sekitar tiga ribu (3,000) tahun yang lalu, fungsi perpustakaan telah memberikan manfaat yang sangat besar terhadap jutaan pengguna di seluruh dunia. Dewasa ini, kemajuan teknologi dan pembangunan aplikasi pintar telah mencipta medium baharu perkongsian sumber maklumat dan tempoh masa memperolehi maklumat juga semakin pantas.


Konsep ‘Perkhidmatan Secara Personal’ atau Personalised Services telah menjadi suatu tarikan baharu di kalangan penyedia perkhidmatan moden. Perkhidmatan ini menyediakan pengalaman pelanggan yang disesuaikan dengan keperluan dan pilihan individu. Tidak terkecuali perkhidmatan perpustakaan yang berpotensi menjadi pilihan pengguna masa kini bagi memenuhi keperluan mereka mendapatkan maklumat yang tepat, pantas dan terkini.
Menyedari keperluan semasa, Perpustakaan Digital UiTM telah membangunkan aplikasi mudah alih dan portal perpustakaan yang dikenali sebagai Mobile App@UiTM dan portal MyKM (My Knowledge Management Portal).Kedua-dua perkhidmatan digital ini menawarkan perkhidmatan perpustakaan secara personal, pengaksesan di seluruh dunia dan pada bila-bila masa, khusus buat pengguna perpustakaan di UiTM.
Antara kelebihan utama Mobile App@UiTM ini ialah aksesibiliti terhadap perkhidmatan dan koleksi perpustakaan secara mudah, pantas dan tanpa kos. Seperti aplikasi lain, Mobile App@UiTM boleh diperolehi dengan mudah dengan cara memuat turun aplikasi daripada laman web Perpustakaan Digital UiTM ke telefon pintar pengguna.


Mobile App@UiTM menawarkan maklumat tentang perpustakaan yang perlu diketahui oleh pengguna khususnya para mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Aplikasi ini dibangunkan dengan cukup ringkas, padat dan interaktif bersesuaian dengan gaya hidup masakini. Kepelbagaian akses terhadap perkhidmatan dan koleksi perpustakaan ini mampu melonjak prestasi penggunaan perpustakaan.
Mobile App@UiTM juga menawarkan menu pencarian maklumat sehenti. Umum mengetahui perpustakaan mempunyai koleksi maklumat yang pelbagai seperti e-buku, buku audio, e-artikel, e-jurnal, peta digital, e-tesis dan e-persidangan. Malah kepelbagaian bentuk maklumat elektronik ini turut tersedia dalam bentuk bercetak.


Menerusi menu pencarian maklumat sehenti ini, kesemua bentuk maklumat ini telah diintegrasi bagi memudahkan pemilihan maklumat penuntut terutamanya di dalam aktiviti penyelidikan. Lebih daripada itu, maklumat judul-judul pilihan akan disimpan bagi memudahkan pengesanan maklumat tersebut pada bila-bila masa.
Rekod identifikasi diri sebagai mahasiswa universiti turut disimpan di dalam Mobile App@UiTM. Kemudahan ini amat bertepatan dengan konsep perkongsian sumber antara perpustakaan di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang telah membenarkan akses sumber maklumat dilakukan oleh mahasiswa universiti di mana-mana perpustakaan akademik seluruh Malaysia. Dengan hanya mempamerkan identifikasi diri sebagai mahasiswa universiti, aksesibiliti terhadap sumber maklumat yang amat luas dan pelbagai telah tersedia.


Selain itu, Portal MyKM ialah satu lagi medium perkhidmatan secara personal di dalam Perpustakaan Digital UiTM. Kelebihan utama portal MyKM ini adalah penyediaan maklumat secara terperinci dan boleh disusun berdasarkan bidang pengajian mahasiswa.


Dalam hal ini, mahasiswa hanya perlu mengetik masuk ke portal MyKM dan judul-judul terkini koleksi perpustakaan dalam pelbagai bentuk maklumat akan tersenarai untuk dipilih oleh pengguna, termasuklah koleksi digital kertas soalan peperiksaan.
Sementara itu, buat para penyelidik dan pensyarah UiTM yang telah berjaya menerbitkan hasil penyelidikan mereka di jurnal-jurnal berindeks dan berimpak, portal MyKM turut menawarkan menu My Article. Menu ini mengandungi maklumat terkini h-indeks setiap penulis. Maklumat indeks sitasi penerbitan oleh penyelidik ini sentiasa dikemaskini dan amat berguna untuk menggalakkan produktiviti penulisan penyelidikan.
Tidak ketinggalan juga adalah kemudahan khusus buat Golongan Kurang Upaya (OKU) turut diambilkira keperluannya di dalam perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan secara personal ini. Kemudahan pengaksesan maklumat di dalam Perpustakaan Digital UiTM telah dibahsuai mengikut kesesuaian dan keupayaan golongan ini. Perubahan ini demi menjamin lima perkara yang terkandung di dalam Polisi Pengajian Pelajar Kurang Upaya 2018 UiTM iaitu inklusif, aksesibiliti, kesetaraan, saksama dan fleksibiliti.


Sebagai kesimpulan, Mobile App@UiTM dan Portal MyKM merupakan antara medium penyebaran maklumat perpustakaan yang responsif terhadap perubahan teknologi maklumat dan proses pendigitalan hari ini. Perpustakaan Digital UiTM amat mengambil berat keperluan dan kehendak setiap lapisan kelompok pengguna di dalam persekitaran universiti. Demi mencapai matlamat sebagai Universiti Tersohor tahun 2025, Mobile App@UiTM dan Portal MyKM akan memenuhi keperluan maklumat personal warga universiti dalam era digitalisasi ini.

sumber : Dewankosmik https://dewankosmik.jendeladbp.my/2022/10/28/4473/